Wednesday 19 February 2020

EMPAYAR 2 : HIKAYAT MUKJIZAT DARIPADA IBLIS ( TEME ABDULLAH )

ASSALAMUALAIKUM.

Kali ini review Jie mungkin agak panjang daripada sebelum ini. Jie nak semua faham dengan betul apa yang berlaku dalam Empayar 2 ni. Jadi dipersilakan baca dulu sinopsis pendek dari Jie. Hihihi...

____________________________________________________________________

" Terbang cenderawasih keliling negeri
Menambat ganasnya ledakan rentaka
Mengetas bendalu dalam sunyi
Dinding lasak negeri merdeka "
Empayar 2 : Hikayat Mukjizat Daripada Iblis


Jika sebelum ini, Empayar telah meninggalkan kita dengan penuh tanda tanya apakah yang terjadi kepada madrasah selepas pemergian putera raja secara senyap. Bagaimana kehidupan pelatih 6480 lepas tunangnya dirampas dan sahabatnya menghilangkan diri.

Kali ini Siri kedua Empayar telah keluar untuk menjawab beberapa persoalan yang berada pada siri pertama. Namun kewujudan dan keberadaan pelatih 8492 (Putera Aradhana Sastra) masih menjadi tanda tanya. Kali ini Teme menegaskan tentang syaitan yang bertopengkan manusia. Melakukan kejahilan dan kekejaman tanpa rasa bersalah.

Kisah bermula apabila Teme mengetengahkan kisah hidup seorang kanak-kanak yang bernama Bachok Andika, anak kedua Orang Kaya. Walaupun hidupnya serba mewah beliau tidak pernah kekok untuk bermain dan bergaul bersama mereka yang berlainan darjatnya. Andika sentiasa bersemangat untuk mengikut ayahnya berlayar. Namun ianya hanya mimpi, ayahnya tidak sama sekali mengajarnya mengenai dunia laut. Ayahnya hanya fokus kepada anak sulung nya Bachok Anding. Setiap pelayaran, Anding diwajibkan ikut bersama supaya tidak kekok apabila beliau perlu mengambil alih tugas ayahnya nanti.

Riuh di luar bilik meminta kesemua pelatih berkumpul. Arahan daripada Mualim Jawa itu dituruti tanpa sebarang bantahan. Pada masa yang sama Pelatih 6480 agak gusar jika kehilangan putera sudah dapat dikesan. Pelatih 6480 tahu dia yang akan dicari jika matlamat asal arahan berkumpul itu adalah berkenaan dengan putera Aradhana kerana dia yang paling rapat.

Lubang dihadapan mereka itu yang menjadi persoalan. Siapa yang melakukannya dan kenapa? Adakah Madrasah Taming Sari dalam keadaan bahaya?

Persoalan terjawab apabila kelihatan susuk tubuh dewasa berpakaian jubah sambil wajahnya ditutup berlari kearah lubang tersebut. Tidak semena-mena keadaan menjadi kucar-kacir dan pelatih 6480 pengsan apabila terdapat hentakan yang kuat dikepalanya.

Rupanya Madrasah kini dalam genggaman jemaah Ar-Rayatusuwd yang diketuai oleh Abu Sawad. Kehilangan hampir separuh daripada jumlah pelatih menjadi tanda tanya, dimanakah mereka. Adakah mereka telah terkorban ketika berlakunya pergelutan? Namun begitu, pelatih tetap berada didalam keadaan yang tenang. Mereka sedar, tidak guna mereka melawan jika tahu pengakhirannya.

Para pelatih memulakan perancangan untuk meminta bantuan daripada perkampungan terdekat. Namun begitu, pemilihan ketua perlulah dilakukan untuk melancarkan perancangan mereka. Sudah terang lagi bersuluh, pelatih 1636 yang telah dipilih sebulat suara namun penentangan daripada pelatih 6480 menjadikan jumlah undian berubah. Akhirnya pelatih 6480 telah dipilih sebagai penghulu.

Sebagaimana yang kita tahu, pelatih 1636 terkenal dengan kelicikan. Didalam perbincangan meminta bantuan, pelatih 1636 telah menawarkan diri untuk menjadi umpan bagi mengalihkan pandangan pengawal semasa serang subuh. Rupa-rupanya beliau berniat untuk membiarkan penghulu 6480 dan A-Kaf 3808 terkorban ketika misi tersebut. Dengan kematian mereka berdua, barulah rancangannya untuk menjadi yang terhebat menjadi mudah. Namun begitu seribu kali sayang apabila Mualim Jawa yang terkorban dalam misi tersebut ketika menyelamatkan penghulu 6480 dan A-Kaf 3808.

Bagi pelatih 1636 rancangannya sudah berjaya apabila tiada berita mengenai mereka berdua sejak misi tersebut. Mereka beranggapan bahawa mereka berdua telah terkorban bersama Mualim Jawa. Sebelum Mualim Jawa menghembuskan nafas terakhir, beliau sempat menyerahkan Keris Nadi Pertiwi kepada A-Kaf 3808 dan keris miliknya kepada penghulu 3808. Mereka berdua telah diarahkan untuk pergi ke Wilayah Jauhar untuk meminta pertolongan dari Orang Kaya Daeng Anding. Mendengar sahaja nama Daeng Anding, pelatih 6480 menjadi berang. Kenapa beliau perlu bekerjasama dengan insan yang tidak digemarinya itu. Disitu barulah terbongkar bahawa penghulu 6480 merupakan adik Daeng Anding iaitu Bachok Andika yang merantau kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh keluarganya.

Apabila nafsu telah mengalahi segalanya, Abu Sawad telah meminta pembantunya, Abu Aiman untuk mencarikan wanita yang mampu memuaskan nafsunya. Keadaan menjadi sukar apabila pelatih wanita yang dibawanya itu merupakan pelatih 2335, isteri pelatih 1636. Menyuruh pelatih 1636 melepaskan pelatih 2335 adalah sukar kerana ianya akan merosakkan reputasinya sebagai imam. Oleh itu, Abu Sawad telah melantik pelatih 1636 sebagai ketua kepada para pelatih dan mengharapkan seorang bujang yang mampu memimpin pada masa akan datang.

Pelatih 2335 menunggu suaminya dengan penuh harapan. Banyak yang ingin dikongsikan. Namun begitu, belum sempat pelatih 2335 meluahkan isi hatinya beliau telah diceraikan talak satu oleh pelatih 1636 tanpa sebagai alasan kukuh. Hal ini kerana pelatih 1636 tidak mahu Abu Sawad mengetahui dia sudah berkhawin. Oleh itu, hubungan dia bersama isterinya perlu diputuskan segera. Berita penceraian tersebut telah diketahui oleh Abu Sawad.

Bagai orang mengantuk disorang bantal, Abu Sawad terus meminta Abu Aiman dan Abu Hajar untuk menikahkan pelatih 2335 bersamanya tanpa menunggu edahnya habis. Majlis tersebut diadakan kecil-kecilan tanpa ada satu juadah pun disediakan. Namun Abu Sawad telah mengantikan juadah tersebut kepada kebenaran pengawal dan pengikutnya memilih mana-mana pelatih wanita untuk ditidurinya. Secara tidak langsung, pelatih wanita telah dianggap sebagai hamba abdi.

Hari demi hari, Abu Hajar semakin merasakan ada yang tidak betul tentang perjuangannya itu. Dia sentiasa tertanya adalah yang dilakukan Abu Sawad itu benar atau tidak. Hatinya keliru. Disitulah dia selalu berkongsi dengan Abu Aiman yang sangat dipercayai dari dulu hingga kini.

Perjalanan Andika bersama Kai Wen (A-Kaf 3808, berketurunan cina) akhirnya menuju kejayaan apabila mereka akhirnya tiba diwilayah Jauhar. Disitu peranan Kai sebagai penunjuk arah telah bertukar kepada Andika kerana dia lebih mahir dengan selok belok tanah airnya itu. Kehadiran Andika disambut mesra oleh Anding namun berbeza dengan Andika yang kelihatan lebih dingin. Andika terus menyerahkan keris milik Mualim Jawa, disitu Anding sudah mengetahui bahawa Mualim Jawa sudah tiada lagi.  Kai menceritakan apa yang berlaku kepada Madrasah. Dengan segera Anding terus memerintahkan pengikutnya bersiap untuk melakukan perjalanan kesana.

Ritual Anding terhadap keris Mualim Jawa dan kapal Gong telah diperkuatkan tentang apa yang disangka selama ini. Keluarganya menggunakan bantuan halus dan menjadi lanun. Namun begitu satu persatu sangkaan Andika menemui jawapan. Kini dia lebih terbuka dan memahami apa yang dilakukan oleh abang dan ayahnya selama ini. Mengapa ayahnya tidak membenarkannya sama sekali mengikut bersama untuk pelayaran. Apa yang diharapkan oleh ayahnya suatu hari nanti dan tugas orang laut dalam kerajaan.

Setelah beberapa jam berlayar akhirnya mereka tiba di jeti. Helang pemantau telah dilepaskan untuk memantau keadaan sebelum mereka menyerang. Apabila Abu Hajar melihat helang tersebut, beliau sudah tahu bagaimana nasib mereka pada akan datang. Oleh itu, beliau telah mengajak Abu Aiman untuk berlari bersamanya.

Dengan mudah, Daeng Anding dan tenteranya menawan kembali Madrasah. Sesampai sahaja disana, kelihatan beberapa pangawal yang berkawal telah pengsan dan pelatih semua dalam keadaan yang baik. Pencarian Abu Sawad dicepatkan tetapi mendapat khabar buruk apabila Abu Sawad ditemui cedera parah apabila lehernya dikelar dan perutnya ditusuk dengan pedang. Namun begitu, Abu Aiman dan Abu Hajar masih tidak dapat dijumpai.

Terdapat persoalan apabila Daeng Anding tidak memberi salam hormat kepada pelatih 1630 apabila beliau telah dipanggil. Keadaan itu menyebabkan salah seorang pelatih memberanikan diri untuk bertanya,

"Pernahkan Orang Kaya melihat wajah tengku putera?"

Jawapan daripada Daeng Anding telah menjawab 1001 persoalan dan telah membongkar 1001 kebohongan yang telah berlaku dikalangan mereka.

Diakhir kisah ini, terdapat plot twist apabila syaitan yang sebenarnya bukanlah seperti kita lihat. Kai dan Andika meneruskan pengembaraan mereka. Manakala pelatih 1630 pula telah menerima hukumannya.

____________________________________________________________________

Kisah sangat mudah tetapi dipenuhi dengan pengisian yang padat. Dari Empayar 1 lagi, Jie meletakkan high expectation kepada penulis Teme. Bagi yang ingin ketahui siapa syaitan sebenar boleh dapatkan Buku Empayar ini dimana-mana kedai buku berhampiran. Jie yakin korang takkan percaya dia adalah dalang disebalik semua ini.

Kita jumpa lagi pada review akan datang ... 

No comments:

Post a Comment